Sunday, April 05, 2009

PEMBEDAHAN PINTASAN GRAFT ARTERI KORONARI (CABG)



APAKAH ITU PEMBEDAHAN PINTASAN GRAFT ARTERI KORONARI (CABG)?

Masyarakat sekarang telah dihantui dengan masalah kesihatan yang boleh menyebabkan kematian mengejut dan mungkin ramai orang di luar sana tertanya tentang apa dia serangan jantung, mengapa, bagaimana ia boleh berlaku? Di sini saya ingin berkongsi pengetahuan tentang Penyakit Jantung.

Apabila sesorang menghadapi penyakit jantung arteri koronari, terdapat pelbagai rawatan bergantung kepada keadaan kesumbatan tersebut.  CABG merupakan satu kaedah yang melibatkan pembedahan untuk memintas arteri yang tersumbat.  Doktor anda akan menentukan rawatan yang terbaik untuk anda.

Dalam pembedahan ini, urat darah (Vena) akan diambil daripada salah satu bahagian tubuh anda, selalunya di kaki dan digunakan untuk memintas bahagian arteri yang sempit atau tersumbat pada permukaan jantung.  Urat darah yang diambil itu akan dipotong kepada beberapa ukuran yang pendek.  Kemudian, satu pangkal daripada potongan urat darah tersebut akan disambung  kepada arteri utama jantung (Aorta) yang paling hampir dengan jantung.  Hujung urat darah berkenaan pula akan dijahit atas arteri koronari melepasi arteri yang sempit.

Pembedahan pemintasan bahagian yang sempit atau tersumbat tersebut dapat meningkatkan pengaliran darah ke jantung.  Bagi sesetengah pesakit, arteri yang terdapat di dalam dada boleh digunakan selain urat darah di kaki.

BAGAIMANAKAH PEMBEDAHAN CABG DAPAT MEMBANTU?

Pembedahan CABG dapat memperbaiki aliran darah dan membuatkan pesakit:

  • Mengalami sedikit atau tiada angina
  • Tidak banyak memerlukan ubat
  • Berupaya menjalani gaya hidup yang lebih aktif
  • Berkemungkinan hidup lebih lama

APAKAH YANG BERLAKU PADA HARI PEMBEDAHAN?

Kira-kira 1 jam sebelum pembedahan, anda akan diberi ubat yang membuatkan anda berasa hendak tidur dan kemudian anda akan dibawa ke bilik bedah.  Di sana anda akan diberi ubat bius yang akan membuatkan anda tidur sepanjang masa pembedahan. 

BERAPA LAMAKAH MASA PEMBEDAHAN TERSEBUT?

Pembedahan CABG selalunya mengambil masa di antara tiga hingga enam jam, bergantung kepada apa yang yang perlu dilakukan.  

APAKAH YANG BERLAKU KETIKA PEMBEDAHAN?

Pakar bedah akan membuat potongan memanjang di bahagian tengah dada melalui tulang dada untuk sampai ke jantung anda.  Kemudian pintasan yang berkenaan akan dibuat dengan urat darah yang telah dipilih.  Selalunya, terdapat satu atau lebih potongan pada kaki di mana urat darah diambil untuk pintasan.

APAKAH YANG BERLAKU SELEPAS PEMBEDAHAN?

Anda akan dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk dipulihkan.  Apabila anda sedar selepas kesan bius hilang, anda mungkin berasa keliru dengan keadaan sekeliling dan kebas, tetapi keadaan ini hanya seketika sehingga koordinasi tubuh dan fikiran anda menjadi lebih sekata/stabil.  Anda juga mungkin perlu tinggal di ICU selama 1 atau 2 hari pertama selepas pembedahan.  Anda juga akan diajar beberapa latihan pernafasan untuk membantu menguatkan paru-paru dan dada anda.

BERAPA LAMAKAH ANDA AKAN TINGGAL DI HOSPITAL?

Biasanya anda dikehendaki tinggal dihospital selama 5 hingga 7 hari selepas pembedahan CABG.

APABILA SEMUANYA SELESAI, APA YANG PERLU ANDA JAGA?

Tinggalkan tabiat buruk dan mulakan hidup secara sihat dengan kehidupan yang lebih gembira bersama keluarga anda.  Sayangi jantung anda.  Amalkan cara hidup yang sihat.

Jangan Merokok

Amalkan pemakanan yang sihat

Besenam

Membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya 6 bulan sekali.

No comments:

Post a Comment

Thanks for The Comment..